Mass Rapid Transit (MRT) adalah system rel yang digunakan
untuk membawa penumpang di kawasan bandar besar di seluruh dunia. MRT juga
dikenali dengan nama lain seperti mass transit, subway,
underground ataupun metro.
Ciri utama MRT adalah kebolehannya untuk membawa bilangan penumpang
yang besar dengan cara efisen. MRT bersama perkhidmatan-perkhidmatan rel
bandaran yang lain sepert aliran transit ringan (LRT), trem, monorel dan tren
komuter, selalunya menjadi tulang belakang sesuatu sistem pengangkutan awam
sesuatu bandar raya.
MRT boleh dibina di bawah tanah terutamanya apabila jajaran
melalui pusat bandar raya, ataupun di atas struktur bertingkat di luar pusat
bandar.
Projek MRT Lembah Klang melibatkan pembinaan jaringan pengangkutan
awam yang berasaskan rel yang berintegrasi dengan sistem-sistem transit aliran
ringan (LRT), monorel, KTM Komuter, KLIA Ekspres dan KLIA Transit.
Sistem-sistem pengangkutan rel ini menjadi tulang belakang perkhidmatan
pengangkutan awam di kawasan Lembah Klang.
Projek MRT Lembah Klang telah diluluskan pada Disember 2010
dan merupakan satu Projek Penggerak Ekonomi di bawah Bidang Ekonomi Utama
Negara (NKEA) Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang yang merangkumi Program
Transformasi Ekonomi (ETP). Program ini dilaksanakan oleh Unit Pengurusan
Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) di Jabatan Perdana Menteri.
Projek MRT ini pada mulanya dicadangkan oleh satu konsortium
sektor swasta pada awal 2010 dan merangkumi tiga jajaran MRT. Kerajaan telah
membuat kajian atas cadangan tersebut dan meluluskan pelaksanaan Laluan Kajang
sebagai jajaran pertama MRT.
Pembinaan Laluan Kajang sepanjang 51kilometer telah
dilancarkan secara rasmi pada 8 Julai 2011 oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd
Najib bin Tun Abdul Razak.
Najib juga telah merasmikan pelancaran Fasa Pertama Laluan
Kajang pada 15 Disember 2016 dan Fasa Kedua Laluan Kajang pada 17 Julai 2017.
Kelulusan bagi pelaksanaan laluan MRT kedua, Laluan
Putrajaya, telah diberikan oleh Kerajaan pada bulan Februari 2014 manakala
kelulusan muktamad bagi Skim Keretapi Laluan Putrajaya telah diterima pada
bulan Oktober 2015. Majlis rasmi pecah tanah bagi Laluan Putrajaya telah
diadakan pada 15 September 2016.
MRT Lembah Klang dikendalikan oleh Mass Rapid Transit
Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp).
MRT Laluan Kajang bermula di Sungai Buloh dan melalui pusat bandar Kuala Lumpur
sebelum berakhir di Kajang. Laluan sepanjang 51 kilometer ini mempunyai 31
stesen yang merangkumi stesen bertingkat dan bawah tanah. Kekerapan tren untuk
MRT Laluan Kajang adalah setiap 5 minit waktu puncak dan 10 minit di luar waktu
puncak.
MRT Laluan Putrajaya bermula di Kawasan Damansara dan melalui pusat bandar
Kuala Lumpur sebelum berakhir di Putrajaya. Laluan sepanjang 57.7 kilometer ini
mempunyai 36 stesen yang merangkumi stesen bertingkat dan bawah tanah.
Kekerapan tren untuk MRT Laluan Putrajaya adalah setiap 5 minit waktu puncak
dan 10 minit di luar waktu puncak.