Tuesday 3 September 2024

BATU NISAN SUNGAI DIKATAKAN HIDUP

 
Ada individu mewasiatkan kepada anak atau waris agar batu nisan di kuburnya nanti adalah daripada jenis batu sungai. Permintaan itu kerana menganggap batu sungai ini sebenarnya hidup dan sentiasa berzikir kepada Allah SWT. Zikir daripada batu itu nanti akan dapat mengurangkan beban siksa di dalam kubur.

Golongan ini juga berhujah dengan hadis tentang peristiwa nabi memacakkan pelepah tamar di kubur sahabatnya yang sedang disiksa. Mereka juga berkata pelepah tamar itu telah menjadi syafaat kepada mayat di dalam kubur.
 
Daripada Ibn Abbas ketika berjalan melewati dua kubur yang penghuninya sedang diseksa, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksu: “Sesungguhnya kedua-duanya sedang diseksa, dan tidaklah keduanya diseksa disebabkan berbuat dosa besar. Yang satu diseksa kerana tidak bersuci setelah kencing sedang yang satunya lagi kerana selalu mengadu domba.
 
“Kemudian baginda mengambil sebatang dahan kurma yang masih basah daunnya lalu membelahnya menjadi dua bahagian kemudian menancapkannya pada masing-masing kuburan tersebut. Mereka (para sahabat) bertanya: "Kenapa anda melakukan ini?.
 
“Baginda menjawab: “Semoga diringankan (seksaannya) selama batang pohon ini basah”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
 
Banyak pendangan ulama dalam soal ini. Ada ulama berpegang bahawa peristiwa ini adalah peristiwa khusus yang tidak boleh hendak diqiaskan kerana hikmatnya dan sebabnya tidak dapat difikirkan kerana berkait dengan doa Rasulullah SAW dan tambahan pula ia adalah perkara ghaib, yakni kedua-duanya itu sedang diazab dalam kubur. (Syabbir Ahmad ‘Uthmani, Fath al-Mulhim Bi Syarh Muslim, jil. 3, hal. 93.).
 
Oleh kerana itu, baginda tidak melakukannya kecuali untuk dua kubur ini sahaja. Perbuatan sahabat bertanya menunjukkan bahawa ini tidak pernah dilakukan sebelum ini dan tidak pula diperintahkan supaya diikuti oleh para sahabat. Ini menunjukkan bahawa perbuatan ini khusus kepada baginda sebagai doa dan syafaat nabi untuk umatnya. (Muhammad bin ‘Ali, Zakhirah al-‘Uqba Fi Syarh al-Mujtaba, jil. 1, hal. 515)

Al-Khattabi, seorang ulama hadis yang terkenal ketika menghuraikan hadis ini di dalam kitabnya Ma’alim al-Sunan Syarh Sunan Abi Daud menyebutkan: “Kata-kata Rasulullah SAW “semoga ia meringankan untuk mereka berdua” itu adalah dari sudut memperoleh keberkatan daripada kesan Rasulullah SAW dan doa baginda supaya diringankan azab daripada mereka berdua. Seolah-olah baginda menjadikan tempoh lembabnya pelepah itu sebagai had kepada doa keringanan azab itu daripada mereka berdua bukan kerana pelepah yang basah itu mempunyai makna yang tidak terdapat pada pelepah yang kering. Orang ramai di kebanyakan negeri menghamparkan daun tamar di atas kubur-kubur dan saya berpendapat bahawa perbuatan mereka itu tidak mempunyai satu dalilpun. Wa Allah A’lam.” (Ma’alim al-Sunan, jil. 1, hal. 18)

Nukilan daripada al-Khattabi menegaskan bahawa dalam masalah ini tidak boleh dilakukan sebarang qias. Untuk mengatakan kelembapan atau segarnya dahan atau pelepah tamar itu sebagai sebab ringan azab, adalah sesuatu yang tidak jelas dan tidak konsisten. Dengan itu, ia tidak memenuhi syarat ‘illah hukum. 

Sekiranya perkara ini dapat dijadikan ‘illah pasti semua mayat yang dikebumikan di bawan rimbunan pokok atau dipenuhi dengan batu-batu akan memperoleh faedah yang besar kerana semua itu tetap terus berzikir untuknya walaupun dia tidak beriman dan tidak pernah beramal soleh. Tentu sekali tidak ada yang berpendapat demikian.

Oleh kerana itu, menjadikan pelepah tamar basah yang bertasbih sebagai asas qiyas untuk memacak ranting pokok, menabur bunga dan meletakkan batu-batu di atas kubur adalah kesimpulan hukum yang tidak menepati prinsipnya kerana tidak memenuhi syarat ‘illah dan berlaku qiyas ma’a al-Fariq (qias dua perkara yang tidak serupa).
 
Mereka yang mengqiaskan bacaan al-Quran dapat memberikan pahala kepada si mati menggunakan qias ini dengan alasan bacaan al-Quran itu lebih mulia dari tasbih daripada pelepah tamar itu. Sedangkan pelepah tamar yang diletakkan oleh Rasulullah SAW  merupakan doa dan syafaat baginda bukan kerana sifat lembab dan basah yang ada padanya. Jauh sekali untuk dikatakan sebagai menyampaikan pahala kepada si mati.

Menyalahgunakan kaedah qias dan meluaskan pemakaiannya dalam masalah ini tidak akan memberikan apa-apa manfaat melainkan hanya menimbulkan pelbagai jenis bidah dan khurafat dalam masyarakat. Atas alasan qias, orang ramai meletakkan bunga-bunga di atas kubur serta menyirami dengan air mawar.
 
Apabila mereka merasakan kesegaran pelepah tamar dan bunga itu tidak berpanjangan lalu mereka menanam pokok bunga di atas kubur serta menghias pula dengan anak-anak batu. Tujuannya tidak lain kerana menyangka semuanya itu akan memberi manfaat kepada si mati. Padahal hanya iman dan amal sahaja yang berguna. Disedari ataupun tidak, mereka telah menyerupai amalan Kristian dalam upacara kematian mereka.

Selain itu, mengkhususkan benda hidup sahaja bertasbih adalah tidak tepat kerana segala yang ada di langit dan di bumi, semuanya bertasbih dan menyebut-nyebut nama Allah SWT sama ada ianya lembab atau kering.

Perlu diketahui bahawa sebenarnya bukan batu sungai sahaja yang bertasbih, tetapi semua makhluk Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.” (Surah al-Isra, ayat 44).

Ayat ini menunjukkan bahawa segala sesuatu itu bertasbih, dan semuanya itu bertasbih bagi Allah SWT dan memuji-muji kebesaran-Nya bukannya mengucapkan tasbih untuk orang yang meninggal dunia. Ini bermakna, segala makhluk yang bertasbih tidak ada kaitan dengan manusia yang telah meninggal dunia.

Mengapa Rasulullah SAW memacak pelepah tamar di dua buah kubur itu sedangkan batu-batu, tanah dan pasir yang ada di situ juga bertasbih kepada Allah SWT. Jawabnya ini adalah syafaat dan doa baginda. Inilah sebabnya mengapa baginda tidak memacakkan kepada kubur-kubur yang lain.

Justeru, sebagai umat Rasulullah SAW kita hanya perlu meminta ampun dan berdoa untuk mayat sebagaimana yang diajarkan oleh baginda dalam hadis-hadis yang lain tanpa perlu melampaui petunjuk baginda.
 
Kesimpulannya, hukum ini tidak umum dan tidak boleh diqiaskan kepada kes orang lain. (Taqi Uthmani, Takmilah Fath al-Mulhim Bi Syarh Muslim, jil. 6, hal. 525., Abdullah Al Bassam, Taysir al-‘Allam Syarh ‘Umdah al-Ahkam, jil. 1, hal. 60)
 
Begitu juga tidak ada riwayat yang menunjukkan bahawa sahabat-sahabat lain ada melakukannya kecuali yang apa diriwayatkan daripada Buraidah bin al-Husaib bahawa beliau mewasiatkan supaya meletakkan dua pelepah tamar di atas kuburnya.

Perbuatan Buraidah ini tidak boleh dijadikan hujah kerana alasan-alasan berikut: Pertama, ini adalah pendapat peribadi beliau dalam keadaan sahabat-sahabat yang utama tidak melakukannya dan hanya beliau seorang sahaja.

Kedua, beliau melakukan ini hanya semata-mata untuk mengikut sunnah Rasulullah SAW  yang pernah melakukan begitu. Ikutan ini dinamakan sebagai ittiba’ suri iaitu mengikuti sunnah secara zahir bukan sunnah yang disyariatkan.

Sheikh Muhammad Tahir berkata: “Adapun perkara yang berlaku berhubung seorang sahabat secara jarang-jarang atau tidak biasa dan tidak diketahui oleh kebanyakan mereka, maka perbuatan itu sama ada berdasarkan kepada ijtihad peribadi atau hadis yang didengarinya (dan diketahuinya) itu kemudian telah mansukh dalam keadaan dia tidak mengetahuinya. Sesungguhnya ittiba atau ikutan yang diperintahkan ialah sahabat dengan lafaz jamak iaitu ashab yang disandarkan kepada kata nama khas yang menunjukkan keumuman yang sebenar, yakni semua sekali atau keumuman menurut adat iaitu kebanyakan sahabat mana kala yang lain berdiam diri. Begitu juga lafaz qarni (kurunku) bermaksud perkara yang tersebar di kurun tersebut.” (Usul al-Sunnah Li Radd al-Bid`ah, hal.64)

Ketiga, Buraidah tidak pernah berniat berbuat demikian untuk melepaskan diri dari azab kubur, kerana sebagai sahabat yang pernah menyertai Baiah Ridwan, beliau meyakini hanya iman dan amalan soleh sahaja yang dapat menolong seseorang menyelamatkan diri dari azab Allah.

Keempat, Imam al-Bukhari yang menukilkan athar Buraidah menyebutkannya di dalam tajuk hadis kemudian mengemukakan athar daripada Ibn ‘Umar bahawa beliau melihat sebuah khemah di atas kubur ‘Abdul Rahman bin Abu Bakar al-Siddiq lalu memerintahkan supaya ia dicabut dan berkata: “Sebenarnya yang melindunginya adalah amalannya.” (Al-Bukhari, Kitab al-Jana`iz, Bab al-Jarid ‘Ala al-Qabr.)
 
Dengan ini difahami bahawa al-Bukhari berpendapat tindakan Buraidah itu tidak boleh dijadikan hujah kerana Ibn ‘Umar tidak sependapat dengannya dan beliau seorang sahabat yang cukup mendalam ilmunya tentang sunnah Rasulullah SAW.
 
Oleh itu, pendapat sahabat yang lebih berilmu dan paling beriltizam dengan sunnah harus diutamakan daripada yang lain. (Lihat Ibn Hajar, Fath al-Bari Bi Syarh Sahih al-Bukhari, jil. 3, hal. 588)
 
Al-Aini menyatakan bahawa tujuan Imam al-Bukhari mengemukakan athar daripada Ibn ‘Umar untuk menyatakan perbuatan Rasulullah SAW memacakkan pelapah tamar adalah khusus dengan kedua-dua kubur itu tidak yang lain. (Al-‘Aini, ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari, juz. 8, 264)
 
Kredit penulis asal.

No comments:

Post a Comment