Friday 20 September 2024

RAUDHAH DAN ENAM TIANG

 
Raudhah adalah tempat kecil di antara bilik Rasulullah SAW (yang sekarang menjadi makam Nabi SAW) dengan mimbar Masjid Nabawi. Dulunya, Raudhah ini terletak di luar kawasan Masjid Nabawi, yang merupakan tempat di antara rumah Nabi SAW dengan masjid. Namun, seiring perluasan Masjid Nabawi, maka kawasan Raudhah menjadi sebahagian kawasan masjid.

Di dalam Raudhah menjadi tempat beribadah yang utama, tempat turunnya wahyu, majlis ilmu dan sebagainya. Raudhah juga disebutkan sebagai taman syurga. Daripada Abdullah bin Zaid al-Mazini, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Di antara rumahku dan mimbarku terdapat satu taman (raudhah) daripada taman-taman syurga.” (Hadis riwayat Bukhari)

Ketika menjadi tetamu di taman syurga ini, kita sangat digalakkan untuk memperbanyakkan berdoa di kawasan Raudhah kerana terdapat banyak keistimewaan disebaliknya yang pasti menjadi saksi kepada perjuangan Baginda SAW.

Bagi umat Islam yang hadir ke sini, ia merupakan salah satu tempat yang amat mustajab untuk berdoa. Kebanyakan jemaah Haji yang hadir akan berebut peluang untuk masuk ke kawasan Raudhah bagi menunaikan solat dan berdoa.

Terdapat enam tiang penting di dalam Raudhah yang setiap satunya ada kisah di sebaliknya.

- Tiang Sarir - Pada suatu ketika dahulu, tiang ini adalah tiang di mana tempat Nabi Muhammad SAW berehat dan di sini juga tempat Siti Aishah binti Abu Bakar menyikat dan menyisir rambut Baginda Nabi Muhammad SAW.

- Tiang Ali atau Tiang Pengawal - Tiang ini dahulu adalah tiang yang digunakan pengawal sebagai tempat untuk mengawal rumah Nabi Muhammad SAW, di mana pengawalnya diketuai oleh Ali bin Abi Talib.

- Tiang Wufud (Deligasi) - Suatu masa dahulu, ruang di sekitar tiang ini sering digunakan oleh Nabi Muhammad SAW untuk berjumpa dengan pemimpin dari deligasi luar yang datang ke Madinah al-Munawwarah.

- Tiang Aishah - Tiang ni sangat istimewa, di mana tiang inilah Nabi Muhammad SAW selalu mengerjakan solat tahajud, munajat dan solat taubat setiap malam. Tiang ini juga turut disukai oleh Abu Bakar dan Umar. Kalau kita masuk ke dalam Raudhah, cubalah untuk bersolat di tepi atau belakang tiang ni dan berdoalah sebanyaknya kepada Allah.

- Tiang Abu Lubabah (Tiang Taubat) - Tiang ini adalah tiang Abu Lubabah yang telah melakukan kesilapan iaitu berbohong kepada Nabi Muhammad SAW. Akibat rasa bersalah pada baginda, Lubabah mengikat dirinya di tiang ini selama tiga hari sehingga tiang ini digelar tiang taubat Abu Lubabah.

- Tiang Muhallaqsah - Tiang ini dahulunya adalah sebatang pokok kurma yang selalu dipegang Baginda semasa berkhutbah. Batang pokok ini menangis dan bunyinya seperti seekor anak unta, kerana dia tidak mahu ditukarkan dengan mimbar yang baru.

Lalu Nabi Muhammad SAW berkata kepada pokok tu, “Engkau akan kekal dengan aku di dalam syurga dalam keadaan seperti batang pokok macam ni” barulah pokok kurma tersebut diam. Tiang ini juga dikenali dengan tiang wangi.

Selain enam tiang tersebut, terdapat juda di dalam Raudah ialah mihrab. Di mihrab inilah Nabi Muhammad SAW menggunakannya untuk solat berjemaah bersama sahabat-sahabat Baginda. Kisah di sebalik mihrab ini juga berkait rapat dengan Saidina Umar Ibn al-Khattab ketika ditikam oleh Abu lu’lu’ah al-Majusi semasa beliau mengimamkan solat subuh.

No comments:

Post a Comment