Thursday 4 July 2024

PENEMUAN DI TAPAK ARKEOLOGI BUKIT CHORAS

  
Penemuan arca Buddha berbentuk manusia di Tapak Warisan Arkeologi Bukit Choras, Yan menunjukkan kemajmukan budaya dari pelbagai latar belakang telah wujud sekian lamanya di bumi Kedah.
 
Penemuan hasil penyelidikan yang diketuai Pensyarah Kanan Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia (PPAG-USM) Nasha Rodziadi Khaw telah membuktikan bagaimana penduduk asal telah berasimilasi dengan pedagang dari China, India dan Asia Tenggara.
 
Sekarang ini kita perlu melihat Kedah Tua bukan sebagai kerajaan Hindu Buddha yang berpusat, tetapi ia merupakan sekumpulan penempatan pesisir pantai yang berada di kawasan barat semenanjung Tanah Melayu.
 
Selain daripada penduduk setempat dan peribumi, wujud juga komuniti pedagang asing, pelawat luar yang datang dari China, India dan kawasan lain di Asia Tenggara.
 
Justeru penemuan beberapa tapak arkelogi di sekitar jajahan kerajaan Kedah Tua ini dianggarkan wujud sekitar pada abad ke-5 Masihi merupakan tamadun tertua di Asia Tenggara.
 
Meskipun artifak berkenaan bercirikan agama Hindu ataupun Buddha, ia menunjukkan jalinan kerjasam antara masyarakat tempatan bersama pedagang dan masyarakat luar sudah mekar berabad lamanya di tanah air kita sendiri.
 
Apabila kita menemui tapak seperti Hindu, atau Buddha ini, kemungkinan besar tapak-tapak ini dibina untuk kegunaan para pedagang, atau ia dibina atas kerjasama antara penduduk setempat dengan pedagang asing.
 
Penempuan ini membuktikan kewujudan masyarakat majmuk di Kedah Tua seperti mana yang berlaku di Kesultanan Melayu Melaka yang wujud daripada latar belakang yang berbeza.
 
Tapak berkenaan juga merupakan bukti, Kedah merupakan lokasi pusat keagamaan penting dan lebih tua berbanding Angkor Wat di Kemboja dan Borobudur di Indonesia.
 
Penyelidikan arkeologi Fasa III itu mendedahkan struktur binaan pada bahagian dinding utara dan barat sehingga memperlihatkan dengan jelas struktur utama candi Bukit Choras menerusi seni bina unik.
 
Kajian stratigrafi, pemetaan kontur serta dokumentasi yang lebih teliti sudah dijalankan terhadap struktur candi serta blok laterit yang ditemukan.
 
Berbeza dengan arca yang ditemukan ketika Fasa I dan Fasa II, arca kali ini lengkap bersama kepalanya dengan ciri-ciri ikonografi seperti jubah, rias wajah dan pakaian dapat dilihat dengan jelas.
 
Selain itu, turut ditemukan ialah sebuah prasasti (batu bertulis) Sanskrit yang diukir di atas badan batu serta serpihan tembikar tanah.
 
Kajian perbandingan antara arca yang baru ditemui itu dengan arca lain terutama dari tamadun India, Indochina dan Kepulauan Melayu dapat memberi gambaran penting mengenai masyarakat Kedah Tua daripada aspek keagamaan, kebudayaan serta hubungan daripada segi kesenian dan teknologi dengan dunia luar.
 
Penemuan sama ada daripada prasasti berbahasa Sanskrit memperlihatkan kepentingan dan signifikan Bukit Choras sebagai tapak keagamaan yang penting.
 
Secara keseluruhannya, sehingga penyelidikan Fasa III, tiga prasasti sudah ditemukan di Bukit Choras dan ia mengandungi mantra sagaramatipratchita (menceritakan mengenai doktrin agama Buddha yang berkait rapat dengan kekosongan, sebab musabab dan sifat dimiliki oleh Buddha) sama seperti isi kandungan prasasti yang ditemukan pada Fasa I sebelum ini.
 
Penemuan terkini di Tapak Arkeologi Bukit Choras pasti membuka ruang kepada tafsiran baharu mengenai kedudukan geostrategik Kedah Tua sebagai kota penting dalam jalur perdagangan maritim Asia Tenggara.
 
Pada 22 September 2023, media melaporkan mengenai penyelidik tempatan yang berjaya menemui dua arca patung hampir lengkap dan prasasti beraksara Pallava abad kelapan Masihi atau kira-kira 1,200 tahun lalu di kawasan Tapak Arkeologi Bukit Choras.

No comments:

Post a Comment