Wednesday 17 January 2024

HOSPITAL BACHOK SEDIA MEMBANTU

 
Hospital Bachok di Jelawat melengkapkan status negeri Kelantan mempunyai satu hospital di setiap daerah (jajahan).
 
Operasi Hospital Bachok amat penting bagi menampung keperluan penduduk tempatan dan manfaatnya dapat dirasai oleh masyarakat sekitar tanpa perlu ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) atau ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk mendapatkan rawatan.
 
Hospital Bachok yang menelan kos RM141 juta telah dimulakan pada September 2016 dan sepatutnya siap pada Disember 2020, namun tergendala berikutan pandemik COVID-19.
 
Pembinaan hospital berkenaan merupakan usaha kerajaan dalam meningkatkan tahap kesihatan penduduk di kawasan Bachok.
 
Hospital Bachok dengan kapasiti 76 buah katil turut mempunyai kemudahan pejabat pentadbiran, kafeteria, perkhidmatan pesakit luar dan kemudahan lain seperti kuarters kakitangan, kawasan letak kereta, surau, bangunan sokongan seperti rumah sampah dan loji rawatan air.
 
Operasi awal Hospital Bachok diuruskan kira-kira 500 orang kakitangan, sebelum ditambah secara berperingka-peringkat mengikut keperluan semasa. Dari segi kepakaran pula, bergantung kepada keperluan operasinya.

Hospital Bachok memberi kemudahan kepada penduduk di kawasan Bachok dan sekitarnya untuk mendapat perkhidmatan kesihatan. Pengoperasian hospital ini dapat  mengurangkan kesesakan hospital di kawasan bandar yang juga padat dengan penduduk.


No comments:

Post a Comment