Sunday 5 November 2023

ATAP TANAH LIAT SINGGORA MENDAPAT SAMBUTAN

 
Rumah dahulu menggunakan atap tanah liat atau dalam dialek Kelantan disebut bata. Bata akan disusun di atas jeriau sehingga membentuk satu “hamparan” bata yang dapat melindungi bahagian dalam rumah daripada air hujan dan cahaya matahari.
 
Memandangkan rumah sekarang sudah beralih kepada atap genting, atap zink dan atap asbestos yang lebih tahan lama, permintaan terhadap atap bata semakin berkurangan.
 
Sekitar 960-an, terdapat kira-kira 40 bengkel pembuatan atap bata di sepanjang tebing sungai di Kampung Pengkalan Baru, Bachok, Kelantan. Kini hanya tinggal sebuah perusahaan yang aktif.
 
Pengusaha tersebut yang mewarisi perusahan dan kemahiran keluarga masih mampu bertahan kerana permintaan terhadap bata masa adaWalaupun terpaksa bersaing dengan pelbagai jenis atap genting moden, atap Singhora atau lebih dikenali sebagai atap bata tradisional dalam masyarakat Pantai Timur masih berdaya maju dan mampu bertahan.
 
Aktiviti penghasilan bata yang masih beroperasi di Kampung Pengkalan Baru adalah diusahakan oleh generasi kelima yang memanfaatkan kepakaran tradisional.
 
Atap bata yang dihasilkan itu dikenali Kraf Atap Singghora diusahakan oleh Noraini Jusoh dan satu-satunya usahawan kraf wanita yang masih mampu bertahan dan berjaya mengharungi pasaran semasa. Nama “singghora” atau “singgora” adalah mengambil nama tempat asal pembuatan atap tanah liat iaitu Singgora di Thailand atau kini dikenali Songkhla.
 
Atap bata terhasil daripada tanah liat yang diuli lumat menggunakan mesin khas menjadi ketulan tanah liat lembut sebelum diletakkan di atas acuan kekuda kayu.
 
Ketulan tanah liat itu terpaksa dimampatkan menggunakan kedua-dua belah kaki sebelum dipotong menggunakan pemotong khas dengan saiz ketebalan kira-kira satu sentimeter (sm).
 
Hasil bata yang masih lembut dikeluarkan daripada acuannya disusun dan dijemur untuk tempoh tiga bulan sebelum dibakar.
 
Produk daripada tanah liat itu masih mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pengguna berikutan harganya yang berpatutan serta nilai estestika seni krafnya yang tersendiri.
 
Atap bata masih digunakan sebagai atap rumah dalam kalangan pencinta kraf, atap untuk seni bina tradisional seperti wakaf dan gazebo.
 
Abu sekam padi bakar digunakan untuk mengelakkan tanah liat melekat pada acuan kayu. Dawai digunakan sebagai pemotong untuk membuang lebihan tanah liat.
 
Teknik memijak mesti dilakukan untuk memadatkan tanah pada acuan. Pekerja pastinya akan menggunakan kedua-dua belah tangan dan kaki ketika bekerja.
 
Bagi menghasilkan atap Singhora yang berkualiti, ia akan dibakar selama 240 jam atau 10 hari pada suhu 800 darjah celsius. Jangka masa yang sama juga diambil untuk proses penyejukan bata di dalam tanur.
 
Lazimnya, 40,000 keping bata Singhora dibakar sekali gus dalam tanur (gok) pada satu-satu masa.
 
Pada tahun 2014, Noraini diberi pengiktirafan sebagai Tukang Ulung oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) bagi memartabatkan kemahiran dan kegigihannya dalam meneruskan perusahaan penghasilan atap Singhora.



No comments:

Post a Comment