Sunday 8 March 2020

ADAB DALAM BERBEZA PENDAPAT


Fitrah manusia mempunyai pandangan berbeza. Manusia bukan robat atau mesin yang boleh diprogramkan untuk bertindak sama dalam semua hal. Kata pepatah, dalam setandang kelapa tidak serupa semuanya.

Inilah keistimewaan yang Allah berikan kepada manusia yang menjadi warna-warna kehidupan. Manusia hidup dalam kepelbagaian cara berfikir, sikap, minat dan kebolehan.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia itu umat yang satu. (Tetapi Dia tidak menjadikan yang demikian) dan kerana itulah mereka sentiasa berselisihan.”  (Surah Hud, ayat 118)

Setiap individu Muslim perlu menyedari bahawa perselisihan pandangan satu perkara yang lumrah. Dan ia perlu sentiasa dilihat daripada sudut pandang positif. Sekiranya dilihat secara positif, pastinya perbezaan itu mendatangkan kebaikan untuk umat.

Perbezaan pendapat membawa kepada pencambahan ilmu. Masing-masing melihat pada sisi yang berbeza. Justeru, ada perkara yang tidak disedari pihak lain akan diberitahu oleh pihak satu lagi.

Maka itu, perbezaan pandangan perlu diraikan dan dikendalikan secara terbuka. Jangan dilihat perbezaan pendapat sebagai perkara membawa mudarat.

Ada banyak ayat al-Quran menerangkan bahawa apa juga perbezaan dalam penciptaan makhluk Allah di atas muka bumi, ia memberi gambaran tentang kekuasaan dan kebesaran-Nya.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan kebijaksanaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi dan perbezaan bahasa dan warna kulit kamu...” (Surah ar-Rum, ayat 22)

Kebanyakan perbezaan pendapat dalam kalangan ulama Islam berlaku dalam masalah fekah. Hal ini berlaku beberapa sebab antaranya perbezaan ulama membuat tafsiran terhadap nas membabitkan pendalilan sesuatu hukum. Biasanya, perbezaan pemahaman terhadap nas ini merujuk kepada nas bersifat umum.

Perbezaan juga boleh berlaku disebabkan faktor tempat dan masa. Bagaimanapun, sekiranya perbezaan pendapat itu dilihat secara positif, maka ia melahirkan faedah positif. 

Umar bin Abd Aziz pernah menyebut bahawa beliau melihat fenomena perbezaan pendapat kalangan sahabat Rasulullah SAW sebagai satu yang baik kerana ia memberi rukhsah (keringanan) kepada umat.

Bagaimanapun, tiada istilah perbezaan atau perselisihan dalam bab akidah. Pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah adalah satu pegangan menyatukan seluruh umat Islam di bawah kalimah tauhid. Al-Quran dan Sunnah adalah dua sumber pegangan akidah tanpa wujudnya kepelbagaian tafsiran daripada kalangan ulama.

Ini menjadi asas keutuhan pegangan akidah umat Islam. Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunah) Rasul.” (Surah an-Nisa’, ayat 59)

Kejahilan umat Islam dalam menangani isu khilaf  (perbezaan pandangan) menjadikan mereka berkecamuk. Lebih dikhuatiri ia bakal menjerumuskan mereka ke dalam lembah kesesatan. 

Oleh itu, bagi orang awam, bertanyalah kepada mereka yang berilmu sekiranya berdepan sebarang masalah berkaitan agama.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.” (Surah an-Nahl, ayat 43)

No comments:

Post a Comment