Monday 2 July 2018

USAHA TINGKAT PELAJAR SERTAI AKTIVITI SUKAN

Pihak sekolah meletakkan sukan sebagai antara bidang yang diberikan keutamaan selain akademik, Selaras dengan hasrat kerajaan melahirkan bukan sahaja modal insan berdaya saing, tetapi juga atlet pelajar yang mampu mencapai taraf dunia.

Kementerian telah melaksanakan program secara komprehensif dengan memperkasakan pengurusan dan pembangunan sukan sekolah serta institusi pendidikan. 

Jawatankuasa Pembangunan Sukan Sekolah telah diwujudkan di peringkat kementerian untuk merancang, memantau dan mempergiatkan aktiviti sukan dengan tujuan mencungkil serta mengasah bakat baharu dalam pelbagai bidang sukan dalam kalangan pelajar.  

Kementerian mengambil berat aspek berkenaan kerana sukan merupakan antara platform terbaik untuk pembangunan modal insan yang holistik serta berdaya saing.

Penglibatan aktif dalam sukan mampu mendedahkan pelajar cara berkomunikasi, bersosial dan mengenali antara satu sama lain, merentasi sempadan kaum serta budaya. Asas perpaduan yang kukuh perlu dibina dalam sistem pendidikan kita, supaya pelajar ini boleh memainkan peranan sebagai ejen perpaduan yang diharapkan.

Namun, tidak dinafikan aktiviti bersukan dipertingkatkan dan disasarkan untuk menyertai pertandingan. Adalah menjadi matlamat negara untuk melahirkan lebih banyak ahli sukan yang menang pingat atau anugerah peringkat antarabangsa. 

Sejarah pertandingan sukan bermula sejak tamadun Yunani dan Greek beribu-ribu tahun lalu melibatkan sukan olahraga, berkuda dan beberapa permainan lain. Pertandingan sukan itu diadakan sebagai cara mengukur atau menentukan keperwiraan dan kecemerlangan hidup rakyat. Individu yang berjaya mendapat pengiktirafan dan penghormatan daripada masyarakat.    
Kini terdapat beribu-ribu jenis permainan di seluruh dunia melibatkan pelbagai konsep, bentuk dan tujuan. Jenis sukan bertambah apabila sesuatu permainan atau aktiviti baharu yang dimulakan individu atau kumpulan tertentu mendapat perhatian ramai. 

Untuk menggalakkan lebih banyak individu dan pasukan menyertainya, maka permainan itu dijadikan sebahagian daripada acara yang dipertandingan dalam acara sukan peringkat tempatan, negara dan seterusnya antarabangsa.  

Contohnya, dahulu silat hanya dikenali sebagai kemahiran tradisional kaum Melayu untuk mempertahankan diri dan menghapuskan musuh. Tetapi, kini seni mempertahankan diri itu telah dijadikan sejenis sukan antarabangsa. 

Sukan silat kini berkembang di seluruh dunia, termasuk di negara Barat. Apa yang menarik, dalam pertandingan peringkat antarabangsa, sudah banyak pesilat dari Barat mencapai kejayaan mengatasi pesilat dari negara di Asia Tenggara yang dianggap pelopor sukan berkenaan. 

Pertandingan silat yang kini dijadikan sukan secara langsung memperkenalkan dan mengekalkan warisan budaya yang semakin pupus. 

Banyak jenis sukan yang dianggap sukan sejagat atau seluruh dunia seperti olahraga, renang dan bola sepak. Sukan berkenaan menjadi perhatian seluruh dunia.  

Bagaimanapun terdapat jenis sukan dimainkan di kawasan geografi tertentu seperti luncur ais yang hanya dimainkan di kawasan salji. Selain itu ada permainan hanya diminati oleh bangsa, mengikut jantina atau melibatkan kepercayaan agama tertentu sahaja.

Sistem pendidikan di negara maju menjadikan sukan sebahagian kurikulum pendidikan. Pelajar cemerlang dalam sukan diberi peluang melanjutkan pelajaran ke sekolah terbaik. Mereka cemerlang dalam pelajaran dan sukan sekaligus. 

Dalam dunia yang serba melibatkan wang, aktiviti sukan juga menyumbangkan kepada kepentingan ekonomi. Pemain yang mencapai taraf cemerlang dalam bidang sukan tertentu boleh menjadikan sukan sebagai kerjaya dan meraih pendapatan lumayan. 

Pemain bertaraf profesional dibayar gaji dan ditaja oleh pihak swasta dengan ganjaran yang setaraf bidang kerjaya profesional.  

Selain menjadi pemain bertaraf profesional, banyak ahli sukan mendapat peluang pekerjaan kerana kebolehan bersukan. Mereka dipilih bekerja di samping bertujuan untuk bertanding mewakili majikan tempat bekerja.

Sejak kebelakangan ini, penglibatan pihak swasta menaja aktiviti sukan semakin meningkat. Sebahagian besar perbelanjaan sukan diperoleh dari sumbangan pihak swasta. Ini membuktikan keyakinan pihak swasta berkaitan peranan sukan dalam aktiviti komersial.  

Apa yang lebih penting ialah kualiti sukan di sekolah. Tanpa penekanan pada kepentingan sukan dan riadah, kita melahirkan generasi yang malas dan tidak peduli pada riadah. Apabila sistem sekolah tidak memberikan perhatian pada aktiviti sukan dan kualiti ahli sukan, sukan negara tidak akan ke mana.

Kurang penglibatan pelajar dalam sukan disebabkan sibuk dengan hambatan mengulangkaji pelajaran untuk persiapan peperiksaan. Manakala ibu bapa pula melarang anak aktif dalam sukan kerana takut menganggu pelajaran. 

Sebenarnya, tidak ada laporan kajian rasmi mengaitkan kegagalan pelajar dalam pelajaran kerana aktif bersukan. Malah banyak ahli sukan di kalangan pelajar mampu mencatat kejayaan cemerlang dalam pelajaran. 

Kita mengharapkan lebih banyak pelajar dan remaja bergiat aktif dalam sukan untuk membentuk individu yang berketerampilan unggul, cemerlang, gemilang dan terbilang. 

Maka itu kita harus menekankan budaya bersukan di kalangan rakyat, tanpa mengira agama, bangsa dan usia. Sukan dan riadah merupakan kemestian bagi setiap orang. Kekuatan fizikal dan minda yang tajam membina tamadun dan kegemilangan. 

No comments:

Post a Comment