Wednesday, 15 July 2026

MASJID SELAT MELAKA

 
Masjid Selat Melaka.  Pembinaannya dicetuskan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali bin Mohd Rustam (Tun). Ia telah mula dibina pada tahun Jun 2003 dan siap sepenuhnya pada 29 Ogos 2006. Kos pembinaan serta penambahan baik pulih masjid ini telah menjangkau RM 13.5 juta.

Masjid ini terletak di perairan Selat Melaka, Bandar Hilir di tapak seluas 1.8 hektar.  Ia  telah dirasmikan oleh Yang Dipertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Tuanku Syed Putra Jamalullail pada 24 November 2006.

Masjid Selat Melaka, atau lebih dikenali sebagai Masjid Terapung Melaka. Masjid ini kelihatan seolah-olah terapung di atas air ketika air pasang. Ia satu keajaiban seni bina yang memukau hati sesiapa sahaja yang melihatnya.

Bahagian masjid ini yang sering menjadi tumpuan pelawat adalah dua pintu gerbangnya yang bersilang menuju ke pintu masuk utama, dengan kaca berwarna-warni menghiasi ruang antara gerbang tersebut.

Menara kecil di sudut-sudut masjid dipengaruh seni bina  tradisional Melayu, manakala kubah utamanya pula mengambil ilham dari seni bina Timur Tengah.

Motif-motif Islam menghiasi bahagian luar masjid, menambahkan lagi keindahan kepada seni binanya.

Ruang solat utama boleh menampung kira-kira 1,500 orang jemaah pada satu-satu masa. Selain itu, menara setinggi 30 meter juga berfungsi sebagai rumah api, menambahkan lagi daya tarikan kepada masjid ini.

Salah satu aspek yang paling menakjubkan tentang Masjid Selat Melaka adalah pemandangan matahari terbit dan terbenam menakjubkan yang anda dapat lihat ketika berada di masjid ini.

Masjid Selat Melaka juga terbuka kepada pelawat bukan Islam, asalkan mereka mematuhi kod etika dan pakaian yang ditetapkan. Terdapat ruang parkir yang luas untuk kemudahan pengunjung.

Masjid Selat Melaka bukan sahaja sebuah tempat ibadat, tetapi juga merupakan mercu tanda budaya dan seni bina yang penting di Melaka.

Keindahannya yang menawan dan seni binanya yang unik menjadikan masjid ini sebagai destinasi pelancong. Kerajaan telah mengiktiraf masjid ini sebagai Masjid Pelancongan Negeri Melaka.



No comments:

Post a Comment