Permainan golf yang bermula semenjak
abad ke-15 di Scotland kini telah menular ke seluruh dunia. Di Malaysia sahaja
dianggarkan ada lebih 300 padang golf. Permainan ini bukan lagi dimonopoli oleh
golongan elit atau golongan diraja. Hampir seluruh lapisan masyarakat tanpa
mengira status dan usia meminati permainan golf.
Golf telah dimasukkan dalam kokurikulum dan
banyak pelajar yang menjadi kedi sebagai pendapatan sampingan. Pada
masa sama mereka berjinak-jinak bermain golf.
Sebenarnya dalam permainan golf banyak
menggunakan istilah Inggeris walaupun pemain ketika bermain tidak bercakap
bahasa Inggeris. Mereka hanya menggunakan istilah bahasa Inggeris.
Padang golf yang luasnya melebihi 20 hektar
biasanya mempunyai 18 lubang. Kawasan antara tempat pukul dan lubang
disebut "fairway" atau "lintasan".
Permainan golf
mempunyai 14 pemukul yang disebut kayu atau besi. Pemukul paling panjang dinamakan "driver".
Besi yang paling pendek dinamakan "sand wedge", khusus untuk
memukul bola bila masuk dalam perangkap pasir iaitu "bunker".
Istilah yang sesuai ialah "penyapu pasir".
Pemukul untuk pukulan pendek dinamakan "wedge"
atau "penyapu". Kemudian "putter" (puter) untuk
memukul bola yang berada dalam "green".
"Putting"
diistilahkan sebagai "puting" dan green adalah
"gren". Hijau boleh juga digunakan di sini tetapi kerana
hijau lebih kepada sifat, "gren" dikekalkan.
Pemain golf biasanya mengambil kedi untuk
membantu membawa beg dan memungut bola. Pemain golf yang pandai
disebut "pro". Pro adalah pemain yang handikapnya 0.
Handikap adalah
ukuran kepandaian seorang pemain, bermula dengan 24 hingga 0; bagi wanita 36
hingga 0.
Pemain yang dapat membuat satu pukulan
untuk memasuki lubang dinamakan "hole in
one" atau "pukul sekali masuk lubang".
Permainan golf melibatkan fahaman fizik dan
daya konsentrasi. Kelajuan bola yang dipukul bergantung pada kelajuan ayunan
pemukul, sudut pemukul, permukaan hentaman dan arah hentaman.
Pemain golf yang mahir biasanya
mempunyai pegangan yang kukuh, kedudukan yang sesuai dan ayunan yang
baik.
Ada bahagian lapangan yang sukar
seperti "water hazard" (halangan
air), "pond" (kolam). Pemain selalu juga mencangkol tanah
semasa memukul bola dan membuat lubang di tanah yang
dinamakan "divot".
Permainan golf dimainkan menurut kumpulan.
Satu kumpulan terdiri daripada 4 orang yang dinamakan "1
flight", atau "kapal". Pemain yang memukul bola dahulu
dikatakan mempunyai "honour" atau "kehormatan".
Sekali pukulan dinamakan satu stroke,
objektif dalam golf adalah mendapatkan pukulan yang paling sedikit untuk
memasukkan bola di dalam lubang.
Ukuran piawai setiap lubang
dinamakan "par". Par - 3 bererti biasanya 3 pukulan untuk
memasukkan bola ke dalam lubang. Begitu juga Par - 4, Par 5. Bagi Par - 4,
pukulan yang kurang daripada 4, atau hanya 3 pukulan
dinamakan "birdie" - atau "burung".
Bola yang dipukul dan menuju di luar
kawasan dikatakan OB yang bererti "Out of
Bound" atau "luar kawasan". Pemain yang baru selalu
memukul bola tidak tepat atau dikatakan "topping" -
"atas".
Bila kedudukan bola sukar untuk dipukul
seperti pada celah pokok, celah pagar, pemain dapat mengubah bola tersebut. Ini
dikatakan "take a drop", atau "pindah bola".

No comments:
Post a Comment