Thursday 8 August 2024

KAMPUNG JEREK, GUA MUSANG PESAT MEMBANGUN

Jerek merupakan sebuah mukim di jajahan Gua Musang, Kelantan. Mukim Jerek telah ditubuhkan pada tahun 1973. 

Mukim-mukim lain di jajahan Gua Musang ialah Mukim Ketil, Mukim Pulai, Mukim Renok, Mukim Bertam Baru, Mukim Bertam, Mukim Batu Papan, Mukim Kuala Sungai, Mukim Kuala Betis, Mukim Limau Kasturi, Mukim Relai Utara dan Mukim Relai Selatan. Terdapat sebanyak 13 mukim kesemuanya di jajahan Gua Musang.
 
Di dalam Mukim Jerek, lokasi tumpuan pembangunan ialah di Kampung Jerek. Kampung lain ialah Kampung Jerek Baru dan Kampung Tasin. Biarpun jauh di pedalaman, Kampung Jerek turut menikmati pembangunan disediakan pihak kerajaan.
 
Kampung Jerek terletak kira-kira 40 kilometer dari bandar Gua Musang. Jarak dari Kota Bharu pula antara 170 kilometer sehingga 190 kilometer mengikut laluan yang dilalui.
 
Jarak Kampung Jerek ke Kota Bharu melalui Dabong-Jeli-Lalang Pepuyu-Rantau Panjang - Pasir Mas-Kota Bharu ialah 170 kilometer.
 
Manakala jarak perjalanan melalui Dabong-Jeli-Machang-Kota Bharu sejauh 180 kilometer.
 
Satu lagi laluan ialah Dabong-Sungai Sam-Kuala Krai-Kota Bharu pula sejauh 190 kilometer.
 
Sejak tahun 2022, penduduk Kampung Jerek dan kawasan sekitar dapat memandu terus ke Kampung Bertam Baru melalui Jambatan Bertam yang telah siap, seterusnya ke kawasan-kawasan lain di seberang Sungai Nenggiri seperti Kampung Limau Kasturi dan Kuala Sungai.
 
Pengakutan terawal untuk ke Kampung Jerek ialah melalui sungai dan kereta api. Terdapat stesen kereta api untuk perjalanan antara stesen dalam negeri iaitu Stesen Jerek Baru. Penggunaan kereta api banyak dimanfaatkan oleh pelajar sekolah.
 
Di Kampung Jerek terdapat kemudahan sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan Jerek. Manakala sekolah menengah pula Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bendahara. Terdapat juga sekolah tahfiz iaitu Sekolah Tahfiz Fakir Miskin dan Anak Yatim (SATYATIM).
 
Kemudahan lain terdapat di Kampung Jerek ialah Klinik Kesihatan Jerek, Perpustakaan Desa Jerek, Masjid Jamek Al Muttaqin Jerek, Pasti Al-Ehsan,Tabika kemas, dewan orang ramai, padang permainan dan kemudahan asas lain.
 
Kemudahan lain turut tersedia di Kampung Jerek ialah kedai runcit, kedai sayur, ikan dan buah, restoran dan inap desa. Kampung Jerek merupakan antara kampung terawal di pedalaman yang mendapat liputan telefon bimbit pada awal perkhidmatan dahulu.  
 
Kemudahan yang terdapat di Kampung Jerek menjadikan kampung tersebut dipilih untuk diadakan program-program oleh kementerian, jabatan, agensi kerajaan, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan. 

SMK Tengku Temenggong

SK Jerek

Perpustakaan Desa Jerek

Jambatan Bertam

No comments:

Post a Comment