Ditinjau dari sudut sejarah, konsep
federalisme di negara kita telah wujud dan diguna pakai sejak 1896. Ia bermula
apabila kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu diperkenalkan melalui
Perjanjian Persekutuan 1895.
Perjanjian Persekutuan 1895 menggabungkan
empat negeri yang dijajah British iaitu Selangor, Perak, Pahang dan Negeri
Sembilan di bawah satu kerajaan pusat yang diketuai oleh seorang Residen
Jeneral. Setiap negeri itu pula diketuai oleh seorang Residen yang mentadbir
berdasarkan panduan kuasa yang telah digariskan.
Sebelum itu, keempat-empat negeri tersebut
diperintah oleh Residen masing-masing dengan memiliki kuasa yang terlalu luas
sehingga kemajuan dan pembangunan di keempat-empat negeri itu tidak seimbang.
Konsep federalisme yang dilaksanakan
British itu telah berjaya mengubah landskap pembangunan di semua negeri
terbabit. Banyak masalah dapat diatasi melalui pemerintahan berpusat itu.
Seterusnya pada 1 Februari 1948,
Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan berasaskan prinsip federalisme bagi
menggantikan Malayan Union (Kesatuan Malaya) yang ditubuhkan pada 1946 tetapi
mendapat tentangan hebat orang Melayu.
Ketika negara mencapai kemerdekaan pada
1957, semua negeri di Tanah Melayu menandatangani perjanjian persekutuan dan
menerima kewujudan negara yang dikenali sebagai 'Persekutuan Tanah Melayu'
dengan kerajaan pusatnya berada di Kuala Lumpur.
Justeru, jika kita meneliti peruntukan asal
Perlembagaan Perkara 1 (1), Perlembagaan Persekutuan 1957 dengan jelas
menyatakan bahawa 'Persekutuan hendaklah dikenali dengan nama Persekutuan Tanah
Melayu (Federation of Malaya).'
Pada 16 September 1963, idea mengenai
gagasan Malaysia yang diilhamkan Tunku Abdul Rahman pada 1961 telah dapat
direalisasikan. Sabah, Sarawak dan Singapura bersetuju untuk berada dalam
Persekutuan yang dikenali sebagai Persekutuan Malaysia.
Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang
sedia ada itu digunakan dengan pindaan dibuat bagi membolehkan kemasukan
Singapura, Sabah dan Sarawak.
Perkara 1 (1) Perlembagaan Persekutuan yang telah dipinda menyebut bahawa 'Persekutuan adalah dinamakan Malaysia dalam Bahasa Melayu dan dalam Bahasa Inggeris'. Di dalam Perkara 1(2) disebut dengan jelas 13 buah negeri di dalam Persekutuan. Singapura menarik diri dari Malaysia dan menjadi sebuah negara merdeka pada 1965.
No comments:
Post a Comment