Monday, 20 June 2022

DEMOKRASI DISESUAIKAN NILAI TRADISI

Sistem demokrasi adalah sebuah sistem yang mendapat tempat di kebanyakan negara namun mempunyai tafsiran dan kaedah pelaksanaan yang berbeza di antara satu negara dengan negara yang lain.

Secara umumnya, demokrasi adalah sebuah tatacara pemerintahan yang berdasarkan suara rakyat yang diterjemahkan melalui undian kepada calon yang difikirkan layak.

Walau bagaimanapun, tafsiran demokrasi yang berbeza antara negara telah menyebabkan wujudnya pelbagai sistem sama ada yang berbentuk republik mahupun dual sistem.

Sebagai salah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, Malaysia menyesuaikan demokrasi dengan nilai-nilai tradisi yang terdapat di negara ini iaitu Islam dan institusi beraja.

Bukan sahaja Malaysia, namun setiap negara dalam sistem antarabangsa juga menyesuaikan sebarang sistem sama ada demokrasi, komunisme mahupun monarki mutlak dengan nilai-nilai tradisi negara masing.

Sebagai contoh, komunisme di China berbeza dengan komunisme di Kesatuan Soviet pada satu ketika dahulu sehingga menyebabkan kedua-dua negara, sekalipun menganut sistem yang sama, berselisih dan bertelagah dalam pelbagai perkara.

Begitu juga dengan dua sekutu rapat iaitu Amerika Syarikat dan Britain. Walaupun bersekutu dalam banyak hal, namun corak demokrasi yang diamalkan oleh kedua-dua buah negara berbeza di antara satu sama lain yang mana Amerika Syarikat mengamalkan corak demokrasi berpresiden manakala Britain mengamalkan corak demokrasi monarki.

Sistem politik di sesebuah negara mempunyai peranan yang cukup penting dalam memberikan kestabilan, keharmonian, kemakmuran seterusnya melestarikan kelangsungan kedaulatan sesebuah negara itu.

Sekiranya keadaan politik di sesebuah negara tidak stabil dan huru hara, maka ia akan menggugat tatanan kehidupan masyarakat di negara tersebut.

Maka, sewajarnya untuk melahirkan sebuah negara yang bahagia, berdaya saing dan maju, politik seharusnya stabil dan kukuh tanpa ada sebarang rampasan kuasa, lompat parti mahupun perletakan jawatan secara sengaja untuk memberikan laluan kepada individu lain.

Sesebuah negara hanya akan maju dan berdaya saing jika mempunyai pemimpin dan ahli politik yang mempunyai keikhlasan berjuang demi negara.

No comments:

Post a Comment