Justeru betapa
pentingnya membentuk atau mewujudkan suasana yang soleh ini, maka kita tidak
hairanlah jika Allah menugaskan antara tanggungjawab para pemerintah agar
memelihara iklim dan persekitaran agak dihiasi dengan perkara-perkara yang
makruf dan dipelihara dari kemunkaran yang nyata lagi mencemarkan masyarakat.
Firman Allah bermaksud: "Iaitu
mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi
nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh
berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kemunkaran. Dan (ingatlah) bagi
Allah jualah kesudahan segala urusan. (Surah al-Hajj: 41).
Inilah tanggungjawab
penting yang dilupai oleh ramai mereka yang mempunyai kekuasaan politik. Allah
menguji mereka dengan kuasa supaya mereka menjalankan amanah-Nya agar
menegakkan suasana yang baik dan bersih yang diwarnai perkara-perkara makruf
dan terpelihara dari pencemaran nilai-nilai negatif.
Memang semua jenis
pemerintahan akan melaksanakan urusan menegakkan dasar dan memelihara rakyatnya
dari unsur-unsur yang mereka tidak ingini. Dasar-dasar yang ditegakkan itu,
mungkin untuk kepentingan tertentu termasuk politik para pemerintah itu
sendiri.
Demikianlah larangan
atau pencegahan yang dikenakan kepada rakyat. Ia mungkin untuk kebaikan umum,
juga tidak mustahil barangkali untuk memelihara kepentingan pihak-pihak
tertentu semata.
Namun Allah Maha Agung
memerintah sesiapa sahaja di kalangan mereka yang beriman apabila diberikan
amanah kekuasaan politik agar menjadi suruhan dan larangan itu berpaksikan
kepada peraturan Allah iaitu Islam.
Apa yang Allah galakkan
maka pemerintah akan galakkan, dan apa yang Allah haramkan maka pemerintah pun
haramkan. Peraturan Islam itu adalah peraturan yang bebas dari kepentingan
mana-mana pihak. Ia semata-mata keadilan, kesejahteraan dan keharmonian.
Mana-mana perkara yang
dikaitkan dengan Islam tetapi terkeluar dari prinsip keadilan dan keharmonian
yang sebenar, maka itu bukan Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw.
Sebab itu para
pemerintah yang akan menegakkan persekitaran yang murni ini, seperti yang
disebut dalam ayat di atas merupakan mereka yang menunaikan solat dan
mengeluarkan zakat. Solat merupakan perlambangan perdampingan jiwa pemerintah
dengan Allah.
Sementara zakat
merupakan pembebasan harta pemerintah dari kemurkaan Allah. Mereka yang
bercirikan seperti ini sudah pasti akan mampu menegakkan iklim murni yang
dirindui semua.
No comments:
Post a Comment