Wednesday 30 March 2016

Laku ibadah ikut kemampuan


Sesungguhnya, ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW sudah lengkap memberi panduan hidup kepada seluruh manusia tanpa mengira batasan masa, geografi dan kaum.  Pun begitu, ini tidak bermaksud menghalang umat Islam selepas kewafatan Rasulullah SAW tidak memikirkan apa yang baru perlu diusahakan. Perbezaan masa, keadaan dan keperluan terhadap sesuatu memerlukan tindakan yang baru.

Dalam hal ini memerlukan kita berfikiran terbuka dan mentafsir maksud bidaah seperti yang disebut oleh dalam sebuah hadis bermaksud: “Jauhilah dari mengadakan perkara baru, sesungguhnya setiap perkara baru itu bidaah, dan setiap bidaah itu sesat, dan setiap sesat itu neraka.” (Hadis riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibn Majah).

Kupasan mengenai bidaah perlu difahami dan bukan sekadar memahami hadis itu secara mendatar.  Banyak pihak apabila memperkatakan tentang perkara baru, lantas mengaitkan dengan bidaah.  Amalan bidah ialah amalan rekaan dalam urusan agama yang bercanggah dengan jalan pemikiran, pendekatan, perbuatan, perkataan, pembawaan dan pegangan Rasulullah SAW.  

Para ulama sebenarnya telah membahagikan bidaah kepada lima kategori dan tidak semua bidaah itu sesat.  Bidaah yang sesat ialah perkara baru yang tidak bersandarkan mana-mana nas daripada al-Quran dan hadis, atau mana-mana sumber hukum seperti ijmak dan qias.   

Kita perlu melihat Islam dalam sudut yang luas dan mengelak daripada mengamalkan fahaman jumud.  Jangan kita meletak hukum hanya berdasarkan kepada satu kaedah sahaja.  Menentukan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh mengikut syariat, terutama dalam soal khilafiyah memerlukan kefahaman yang tinggi berkaitannya, bukan sekadar ulama jadian.  

Islam menekankan aspek kesederhaaan agar dapat mengimbangi fitrah kejadian manusia yang mudah keluh resah, tamak, tidak mudah puas, terdorong melakukan dosa dan keinginan tidak terhad.  Suruhan melakukan secara sederhana memberi banyak kebaikan berbanding sikap keterlaluan yang mendatangkan kesan buruk di sebaliknya.

Diriwayatkan, tiga orang pemuda menemui Rasulullah SAW menjelaskan niat mereka ingin beribadat sepanjang masa mengabdikan diri kepada Allah SWT.  Mereka tidak ingin melakukan perkara lain kerana takut melalaikan diri daripada melakukan ibadat.

Antara perkara yang dinyatakan oleh ketiga-tiga pemuda itu bagi meningkatkan ibadatnya ialah tidak mahu berkahwin kerana ingin menumpukan sepenuhnya kepada ibadat.  Mereka juga ingin berjaga sepanjang malam dengan mendirikan sembahyang dan berpuasa setiap hari sepanjang tahun.

Mendengar penjelasan ketiga-tiga pemuda itu, maka Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Demi Allah, akulah hamba paling bertakwa dan takut kepada Allah di antara kamu kalian.  Namun aku tetap berpuasa dan berbuka puasa, bersolat tahjud dan tidur pada malam hari dan aku juga berkahwin serta mempunyai isteri.  Sesiapa yang tidak menyukai sunahku, maka bukanlah dia termasuk ke dalam golonganku.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

No comments:

Post a Comment