Sunday, 28 June 2026

JENIS JANJI WAJIB DITUNAIKAN

Jenis janji wajib ditunaikan. Janji wajib ditunaikan hanya bagi maksud kebaikan. Janji melakukan keburukan haram diucapkan dan haram ditunaikan. Sesiapa berjanji melakukan perbuatan haram perlu mengubah niat dan segera bertaubat.

Sikap memegang janji perlu diutamakan bagi menjaga hubungan baik dengan pihak dijanjikan. Sesungguhnya apabila membuat janji, bermakna telah terbentuk satu tanggungjawab melaksanakannya. Tanggungjawab samalah dengan amanah, yakni perlu dilaksankan sedaya mungkin.

Rasulullah pernah menunjukkan contoh baik dalam usaha menunaikan janji. Kisahnya, Baginda  berjanji menemui seorang sahabat di satu tempat atas urusan tertentu. Maka, tepat pada masa dijanjikan, Rasulullah telah pergi ke tempat itu.

Bagaimanapun, sahabat itu tidak datang tepat pada masanya seperti dijanjikan. Namun, Rasulullah terus menunggunya sehingga beberapa lama. Akhirnya, Baginda beredar meninggalkan tempat tanpa menemui sahabat yang ditunggu itu.

Pada keesokannya Baginda pergi sekali lagi ke tempat tersebut. Baginda berbuat demikian dengan anggapan mungkin sahabat itu terlupa pada hari semalam dan mungkin akan datang pada hari tersebut pula. Bagaimanapun, sahabat Rasulullah itu tetap juga tidak datang pada hari kedua itu.

Demi menunaikan janji, pada hari ketiga sekali lagi Rasulullah ke tempat tersebut. Namun, sahabat itu tidak juga datang pada hari ketiga. Pada hari keempat Rasulullah tidak lagi pergi menunggu sahabat di tempat yang dijanjikan.

Sikap Rasulullah itu membuktikan betapa pentingnya menunaikan janji, walaupun telah melepasi masa dijanjikan. Jika difikirkan tentulah tidak perlu lagi Rasulullah pergi ke tempat dijanjikan kerana telah melakukannya pada masa dijanjikan. Tujuan Rasulullah berbuat demikian untuk memberi peluang kepada sahabat  menunaikan janjinya biarpun telah lepas dari masa sebenarnya.

Berjanji memang mudah mudah dilakukan. Dengan mengucapkan beberapa patah perkataan, tulisan atau pergerakan bahagian badan yang difahami, maka terbentuk dan terikatlah satu perjanjian. Janji hanya terbentuk jika pihak pertama menyebut kesediaan menunaikannya.

Ada perjanjian ditentukan oleh pihak kedua. Contohnya seseorang ‘dipaksa’ melakukan sesuatu. Pihak pertama yang perlu melakukan perkara itu tidak pula menyatakan kesediaan, sebaliknya membantah. Dalam soal ini tidak wujud janji. Mana-mana janji mesti disanggupi untuk melakukannya oleh pihak pertama dan pihak kedua juga sanggup menerima (turut melakukan, setuju atau mengiakannya).   

Ironinya, janji amat sukar untuk ditunaikan oleh mereka yang kurang kesedaran dalam mematuhi perintah agama. Mereka menganggap janji sekadar hubungan sesama manusia. Justeru, mereka melihat perkara itu perkara biasa. 

Perkara ini terutama dilakukan oleh orang lebih berkuasa terhadap pihak kedua. Pangkat, kedudukan dan kekayaan dijadikan ‘kuasa’ membuat janji. Pada fikiran mereka, kalaupun tidak melaksanakan janji itu, pihak kedua tidak dapat melakukan apa-apa perkara yang boleh mendatangkan kesan buruk. 

Sebab itu, ramai orang menabur janji tanpa memikirkan kemampuan menunaikan. Bahkan ramai berjanji ‘kosong’ atau tidak berniat menunaikannya. Janji dilakukan sekadar untuk menyedapkan hati pihak kedua. Disebabkan terlampau mudah, ada membuat janji sehingga berpuluh-puluh dan mungkin beratus kali dalam sehari. Apabila terlalu banyak berjanji, ia mudah dilupakan atau tidak mampu menunaikannya. 

Amalan banyak berjanji perlu dihentikan, jika dirasakan tidak mampu menunaikannya. Berjanjilah jika yakin mampu menunaikannya. Kemudian terserahlah kepada izin Allah sama ada benar-benar dapat ditunaikan atau tidak. 

Perbuatan berjanji dan tidak menunaikannya bukan sahaja berdosa, tetapi juga merugikan diri sendiri. Sekali terkena, orang lain akan berhati-hati kemudiannya. Jika kerap mungkir janji, orang lain tidak mempercayainya lagi, walaupun benar-benar berjanji ingin ditunaikan.

Gambar sekadar hiasan 

No comments:

Post a Comment