Monday, 20 January 2025

PENGIKTIRAFAN TERHADAP PENTADBIR DAN GURU SMK PANGGUNG JAYA

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panggung Jaya yang terletak di Kampung Panggung Lalat menjadi sekolah pertama untuk anak Orang Asli di Kelantan. 

Nama ‘Panggung Jaya’ adalah dari nama Kampung Panggung Lalat yang hanya mengambil perkataan ‘panggung’ dan ditambah perkataan ‘jaya’ yang menjadikan nama ‘panggung jaya’. 

Perkataan ‘jaya” itu benar-benar membawa kejayaan kepada sekolah yang kini mendapat perhatian warga pendidik seluruh Malaysia apabila kejayaan yang dicapai disebut dan diulas oleh Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek, ketika ucapan Amanat Tahun Baharu 2025.

Fadlina mengiktiraf bahawa penguasaan Bahasa Inggeris SMK Panggung Jaya jauh lebih baik berbanding sekolah-sekolah luar Kelantan, biarpun majoriti pelajarnya daripada Orang Asli.

"SMK Panggung Jaya telah memberikan harapan yang luar biasa dan memberikan keyakinan kepada anak-anak ini bahawa mereka tidak terpinggir daripada mana-mana sistem pendidikan khususnya, tetapi yang paling utama tentang bagaimana pentadbir membawa rasa cinta, mengukuhkan keyakinan guru-guru untuk berkhidmat di sekolah ini seterusnya melonjakkan potensi anak-anak", ucap Fadlina.

Turut menyebut mengenai kejayaan SMK Panggung Jaya ialah Pengarah Institut Aminudin baki pada majlis perasmian Kolokium Amalan Terbaik PGB Prime Peringkat Kebangsaan.

Pengetua SMK Panggung Jaya kini disandang Mohd Khairul Bahri bin Ismail, bersama pentadbir dan guru-guru yang sentiasa memberi sepenuh komitmen dan rasa tanggungjawab memikul amanah yang dipikul.

Tentunya, jika pentadbir dan guru-guru ini terus digandingkan, lebih banyak kejayaan mampu dicapai. 

Sebenarnya banyak kejayaan telah dicapai SMK Panggung Jaya yang boleh dianggap “luar biasa hebat” berbanding status sekolah yang masih baharu, berada di pedalaman dan pelajar Orang Asli yang sebelum ini sering dikaitkan dengan “cicir” dan “gagal”

Sebelum ini anak-anak Orang Asli di kawasan pedalaman terpaksa dipecahkan kepada beberapa sekolah menengah lain iaitu SMK Tengku Indera Petra 1, SMK Tengku Indera Petra 2, SMK Seri Wangi, SMK Tengku Bendahara, SMK Bandar Chiku dan SMK Chiku 2. 

Kebanyakan mereka tinggal di kampung sekitar Pos Tohoi, Pos Simpor, Pos Belatim, Pos Bihai, Pos Gob, Pos Brooke, Pos Hendrop, Pos Pasik, Pos Pulat, Pos Hau, Pos Balar dan Kuala Betis. 

Mohd Khairul Bahri bin Ismail

No comments:

Post a Comment