Monday, 27 January 2025

KUMPULAN AWAL REKRUT KHAS RAMD

 
Rejimen Pertama Askar Melayu (RAMD) ditubuhkan pada 1 Mac 1933. Penubuhannya adalah selaras dengan hasrat Sultan dan Raja-Raja Melayu supaya Batalion Tentera British India yang pada masa itu beribu pejabat di Taiping digantikan dengan pasukan askar Melayu.

RAMD terlibat secara langsung dalam kancah Perang Dunia Kedua. Selepas perang tamat, RAMD terus diperbesarkan bilangan batalion dan keanggotaan. Turut diberi keutamaan ialah meningkatkan kemahiran anggota dalam pelbagai tugas yang mampu dilaksanakan.

Maka, pengambilan rekrut khas dilakukan yang turut memberi penekanan kepada kelayakan akademik.

Rekrut yang berumur di antara sembilan belas hingga dua puluh lima tahun ini boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dan telah lulus darjah enam dan tujuh. Pada ketika itu, lulus darjah enam sudah layak memohon untuk menjadi guru.  

Kumpulan rekrut itu telah menamatkan latihan pada 22 Jan 1950, di Depoh Askar Melayu, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Kumpulan yang terdiri daripada 39 orang rekrut telah menghadiri perbarisan tamat latihan yang dihadiri bersama Kolonel C.W.P. Richardson, serta dua ratus orang tetamu jemputan.

Mereka telah menjalani latihan selama empat bulan dan akan dihantar untuk membuat kerja-kerja khas dan menjalani latihan lanjutan.

Sesetengah daripada pelatih ini akan dihantar ke sekolah-sekolah pertukangan, dilatih sebagai kerani dan ada pula yang akan dilatih dalam unit-unit Askar Melayu yang lain.

Bagi bakal pegawai Askar Melayu pula, mereka akan dihantar ke Sandhurst, England (Pusat Latihan Pegawai Kadet) untuk mendapatkan latihan sebelum ditaulihkan sebagai seorang pegawai.

No comments:

Post a Comment