Monday, 2 March 2020

TIADA PAKSAAN PERKARA TIDAK MAMPU DILAKUKAN


Keindahan ajaran Islam terpancar melalui amalan kehidupan seharian yang menetapkan konsep mampu dan kesederhanaan sebagai teras perlaksanaan setiap hukum yang ditetapkan. Asas ini lebih mendatangkan kebaikan dan keharmonian hidup kerana itu adalah fitrah kejadian manusia.

Sebab itu Allah SWT tidak memberati sesuatu perintah dilaksanakan, melainkan apa yang terdaya dilakukan oleh manusia. Firman Allah SWT bermaksud: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 286).

Sesungguhnya tidak ada perintah melaksanakan ibadat yang sukar untuk dilakukan. Bahkan, Islam memberi kelanggoran untuk tidak melaksanakan sesuatu ibadat wajib ketika keadaan tertentu. Ia memberi satu kemudahan dan keselesaan untuk manusia melaksanakan keperluan hidup. 

Contohnya, mereka yang berpuasa diharuskan berbuka sekiranya dalam musafir. Tidak harus orang bermusafir terus berpuasa sehingga boleh mendatangkan mudarat kepada dirinya. Bahkan wajib dia berbuka jika sekiranya dia terus berpuasa akan menyebabkan mengancam nyawa. Sesungguhnya apa saja yang telah ditetapkan oleh agama bertujuan memberi kebaikan. 

Sabda Rasulullah SAW bersabda: “Apa saja yang aku larang kamu mengerjakannya, maka jauhilah, dan apa yang aku suruh kamu lakukannya maka lakukanlah seberapa daya kamu.  Sesungguhnya binasa orang-orang sebelum kamu oleh banyak pertanyaan mereka dan berselisih dengan nabi-nabi mereka.”  (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). 

Para ulama mentakrifkan hadis ini penting dalam menjelaskan kaedah perlaksanaan ibadat dan kehidupan seharian. Ia menjelaskan tentang tujuan memberi kemudahan dalam urusan beragama dan tidak perlu menambah-nambah apa yang tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW. 

Umat Islam sudah memadai mengikut apa yang disuruh dan menjauhkan apa yang dilarang tanpa perlu mencari sesuatu yang lain dengan kononnya ingin mendapat sesuatu lebih baik, sedangkan perkara itu tidak disuruh oleh Rasulullah SAW.  

Allah SWT telah memperakui apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan yang terbaik. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.” (Surah al-Ahzab, ayat 21).

Sesungguhnya ajaran Islam meraikan atau memenuhi tabie manusia. Sebab itu tidak ada satupun amalan dalam Islam yang menyalahi tabie keperluan manusia.

No comments:

Post a Comment