Masyarakat Islam di negara kita ramai yang
keliru mengenai hiburan dan muzik yang diharuskan dalam Islam. Masih ramai yang
berpendapat hiburan dan irama muzik Islam mesti berasaskan kepada kesenian dan
kebudayaan Arab dan Parsi.
Kesenian dan kebudayaan adalah salah satu
daripada cabang kehidupan manusia. Setiap bangsa mempunyai kesenian dan kebudayaan tersendiri yang sesuai
dengan pembinaan jati diri bangsa.
Dr Yusuf al-Qaradawi menggariskan panduan yang
mengharuskan pemainan muzik dan nyanyian. Perkara pertama; lirik lagu, seni kata dan persembahannya tidak
bertentangan akidah Islam dan hukum syarak. Lirik lagu yang mempertikaikan akidah Islam dan kebesaran Allah, tidak
harus didengar.
Kedua; persembahan hendaklah dalam bentuk
sopan. Ia tidak melibatkan pergerakan
yang memberangsangkan nafsu dan melalaikan.
Ketiga; tidak melibatkan pergaulan bebas lelaki
dan perempuan, tidak diadakan di tempat yang boleh mendatangkan fitnah, tidak
diadakan di tempat yang gelap atau separuh gelap yang boleh memberi ruang
kepada syaitan mempengaruhi perkara tidak baik.
Keempat; tidak dilakukan secara keterlaluan
sehingga mendatangkan pelbagai perkara buruk. Apa lebih penting hiburan itu tidak melalaikan manusia daripada
melakukan perintah-perintah Allah.
Pada umumnya, seni nyanyian dan muzik bertujuan
melahirkan hiburan dan keseronakan. Segala bentuk hiburan berfungsi membina keterampilan diri, mempamerkan
bakat, menghasilkan ketenangan jiwa, menjana pemikiran kreatif dan
menghilangkan rasa tegang.
Keadaan jiwa yang tenang dan fikiran yang tajam
mudah menerima hakikat kehidupan di sekelilingnya. Hal ini melahirkan cetusan rasa dan keinginan
yang sentiasa peka untuk melahirkan masyarakat yang harmoni, sejahtera dan serasi.
Imam al-Ghazali menjelaskan jiwa yang sihat
ialah jiwa yang segar apabila mendengar suara petikan biola, segar apabila
melihat bunga-bunga mekar sekitar taman. Sebaliknya, jiwa yang rosak, ialah yang gagal menikmati suara petikan
biola, jiwa yang tidak terhibur sekalipun dikelilingi taman yang penuh
bunga-bungaan.
Sheikh Mahmud Shaltut, bekas Sheikh al-Azhar,
berpendapat bahawa mendengar suara indah dan merdu, sama ada daripada binatang,
manusia atau apa-apa alat atau ada kecenderungan untuk mempalajari sesuatu
daripadanya, adalah keinginan untuk memenuhi tuntutan nalurinya.
No comments:
Post a Comment