
Apakah hukum untuk orang Islam menyebut “Rest In Peace – RIP” pada ketika mendengar seorang yang bukan Islam meninggal dunia?
Secara
dasarnya Islam membenarkan ucapan yang baik terhadap orang bukan Islam atas
dasar kemanusiaan dan penghormatan terhadap hak mereka dalam melaksanakan agama
mereka. Ini dapat dikiaskan dengan penghormatan Rasulullah SAW apabila
Baginda berdiri menghormati jenazah seorang Yahudi yang lalu di hadapan
Baginda.
Terdapat
dua perkara penting dalam isu memberi ucapan kepada orang bukan Islam. Pertama,
niat seseorang dalam memberikan ucapan tersebut. Sekiranya sesuatu ucapan
diberikan dengan niat membenarkan kepercayaan sesuatu agama yang jelas
bertentangan dengan Islam, maka ia adalah dilarang. Sementara sekiranya ia
diucap sekadar penghormatan secara umum, maka ia adalah harus.
Keduanya,
latarbelakang tradisi istilah yang diucapkan. Sekiranya ia telah menjadi sebahagian
dari amalan keagamaan maka ia adalah dilarang.
Dalam
konteks ucapan Rest in Peace, ia adalah satu bentuk ucapan doa yang biasa
diucapkan dalam agama Kristian terutama dalam mazhab Katolik sejak abad ke-18.
RIP
juga biasanya diukir di batu nisan mereka yang telah meninggal dunia di
kalangan masyarakat Kristian. Versi penuh ucapan tersebut yang berasal dari
bahasa Latin itu ialah ‘May his soul and the souls of all the departed faithful
by God’s mercy rest in peace.’
Ia
juga mengandaikan orang bukan Islam tersebut akan mendapat rahmat dari Tuhan
sebagaimana doa asal yang disebut dalam bahasa Latin. Sedangkan dari sudut
akidah Islam seseorang yang mati dalam kekufuran tidak akan mendapat keampunan
dan rahmat dari Tuhan.
Ini
berdasarkan ayat al-Quran, Surah al-Taubah:113, “Tidaklah dibenarkan bagi Nabi
dan orang-orang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun
orang itu kaum kerabatnya sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang
musyrik itu ahli neraka.”
Oleh
yang demikian seorang Islam adalah amat tidak digalakkan untuk mengucapkannya
kepada seorang bukan Islam.
Walaubagaimanapun
Islam tidak menghalang seseorang Islam mengucapkan simpati terhadap keluarga
orang bukan Islam yang meninggal dunia dengan ucapan yang tidak memberi implikasi
keagamaan seperti “Saya bersimpati dengan apa yang berlaku kepada anda “ atau “
kami mengucapkan kesedihan atas kehilangan si fulan dari keluarga anda”.
Ucapan yang biasa dalam masyarakat Malaysia apabila berlaku kematian dan kecelakaan ialah 'takziah'.
Definisi takziah: peryataan turut bersedih (berdukacita), belasungkawa: kepada keluarga si mati (Kamus Dewan Edisi Keempat).
Rujukan:
Rujukan:
No comments:
Post a Comment