Wednesday 30 March 2016

Teguh ucap perkataan buruk

Rasulullah banyak memperkatakan mengenai tegahan mengucapkan perkataan yang buruk. Tegahan itu sebenarnya satu ketetapan hukum yang jelas sesiapa meninggalkannya mendapat pahala dan melakukannya satu dosa.

Hakikat ini dinyatakan dalam sabda Rasulullah bermaksud: “Diam itu adalah suatu hukum dan sedikitlah (orang) yang melaksanakannya.” – (Hadis riwayat Abu Mansur ad-Dailami).  Hukum bermakna satu perintah yang mesti dipatuhi.

Mungkin ramai berkata, jika tidak bercakap nanti dianggap oleh orang lain bersikap sombong dan seperti orang bodoh. Perintah berdiam itu sebenarnya apabila dirasakan perkara dicakapkan itu akan menjuruskan kepada pengeluaran perkataan yang tidak baik. 

Tidak sukar untuk membezakan topik mendatangkan perkataan buruk. Tambahan pula jika dikenal pasti orang-orang yang bercakap itu memang suka bercakap perkara buruk. Dalam situasi itu adalah lebih baik berdiam diri. 

Justeru, apabila dalam keadaan diam, maka tidak akan terucap perkataan buruk. Ketika itu cubaan amat berat kerana sifat buruk sentiasa dibisikan oleh syaitan. Syaitan akan cuba menguasai hati dan fikiran agar turut memperkatakan perkataan buruk. Untuk mengelak dikuasai oleh syaitan, banyak-banyaklah memohon perlindungan dari Allah dari pengaruh syaitan direjam dengan mengucapkan ‘auzubillahi minasyaitanni rajim’.

Jika dirasakan tidak mampu berdiam diri, maka lebih baik meninggalkan tempat itu. Tindakan itu mungkin dianggap biadap dalam pengertian hidup bermasyarakat atau berkawan, tetapi itu lebih baik daripada mendapat kemurkaan Allah. 

Oleh itu sesiapa yang mengawal daripada mengucapkan perkataan buruk bermakna menjaga dirinya daripada kemurkaan Allah. Justeru, balasan baik dijanjikan kepada mereka yang berjaya mengelak dari mengeluarkan perkataan buruk. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa mengawal lidahnya (daripada memperkatakan kehormatan orang) maka Allah akan menutup kecelaannya (hal-hal yang memalukan). Sesiapa yang menahan kemarahannya, Allah akan melindunginya daripada seksa-Nya.  Dan sesiapa yang meminta kelonggarannya kepada Allah, maka Allah akan menerima permintaan kelonggarannya.” – (Hadis riwayat Ibnu Abib-Duanya).

Sesungguhnya mengawal lidah daripada berkata-kata perkara buruk merupakan lambang keimanan. Sesungguhnya mereka yang beriman tidak sekali-kali akan memperkatakan perkara yang ditegah. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik maupun dia diam.” – (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis lain pula dikatakan tidak lurus (sempurna) iman seseorang yang tidak lurus pada lidahnya. Hadis diriwayatkan oleh Ibnu Abid-Dunya bermaksud: “Tidak akan lurus iman seseorang hamba, sehingga lurus pula hatinya, dan tidak akan lurus hatinya sehinggalah lurus pula lidahnya.  Dan seorang hamba tidak akan masuk syurga selagi tetangganya belum aman daripada kejahatannya.”.

Di antara perkataan buruk yang sering diucapkan ialah membuat fitnah. Allah meletakkan dosa membuat fitnah lebih buruk kesannya daripada membunuh.  Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 217 bermaksud: “Fitnah itu besar (dahsyat) dari melakukan pembunuhan.”

Maka sebab itu ada pepatah menyebut lidah itu lebih tajam daripada pedang. Pedang yang disalahgunakan atau tidak dijaga dengan baik pasti mendatangkan bahaya kepada diri orang lain dan mungkin juga kepada pemiliknya. 

Sesiapa yang menjaga mulutnya, maka dia diberi balasan syurga. Perkara ini dinyatakan oleh Rasulullah dalam sabdanya diriwayatkan oleh Bukhari bermaksud: “Sesiapa memberi jaminan kepadaku apabila yang di antara dua tulang rahangnya (lidah) dan yang di antara dua kakinya (kemaluan), nescaya aku akan menjamin baginya syurga.”.

Jika seseorang berjaya mengawal mulutnya dijamin ke syurga, maka sebaliknya jika gagal mengawalnya. Seorang sahabat pernah menanyakan kepada Rasulullah apakah sebab terbesar seseorang masuk neraka, maka baginda menjawab dengan sabdanya bermaksud: “Dua rongga badan iaiatu mulut dan kemaluan.” – (Hadis riwayat at-Tarmizi dan Ibnu Majah). 

Jelaslah menjaga lidah itu amat penting dalam menjamin kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Mereka yang hidup dalam keadaan lidahnya hanya menyebut perkataan baik, dialah seorang yang bijak dan darjatnya tinggi di sisi Allah.

No comments:

Post a Comment