Wednesday 30 March 2016

Fitnah dan ghibah

Fitnah ialah tuduhan melalui cerita, khabar atau kisah yang diada-adakan atau agak-agak untuk mendatangkan keburukan terhadap seseorang, keluarga atau kumpulan. Perkataan fitnah berasal perkataan Arab bermaksud kekacauan, bencana, cubaan dan penyesatan.   

Dalam era teknologi maklumat mudah disebar fitnah. Alat yang dicipta telah disalahguna untuk keburukan. Penyebaran fitnah mudah disebarkan melalui alat komunikasi tanpa perlu berdepan dengan orang disebarkan berita. Malah identiti penyebar juga boleh dirahsiakan.

Fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburuk-burukan individu atau kumpulan. Pada masa yang sama perbuatan tersebut dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan lebih layak berbanding orang difitnahkan.

Kita ditegah mencari keburukan orang lain untuk kebaikan diri sendiri. Sebaliknya, lakukan usaha sendiri secara betul untuk mendapat apa dihajati. Lihat dalam diri sendiri mencari kekuatan dan kelemahan diri. 

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Beruntunglah orang yang sentiasa menyelidiki dan melihat keaiban diri sendiri.” - (Hadis riwayat Muslim).

Jika kita gagal melakukan sesuatu jangan dipersalahkan kepada orang lain. Menyalahkan orang lain tidak menyelesaikan masalah. Malah, masalah menjadi semakin kusut apabila saling tuduh menuduh.     

Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, dosa fitnah  tidak diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnahkan memberi keampunan. 

Kita fikirkan betapa sukarnya menemui setiap orang yang diumpat bagi memohon maaf. Betapa besarnya dosa jika fitnah itu ditujukan kepada kelompok orang ramai. 

Dosa fitnah tidak diampunkan biarpun telah bertaubat. Jadi berhati-hati apabila bercakap agar tidak terlanjur melakukan fitnah.  Jika terlepas cakap, lebih baik mengaku kesalahan itu. Mudah-mudahan orang difitnah secara lepas cakap itu memaafnya.    

Dosa membuat fitnah menghalang seseorang daripada memasuki syurga. Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Orang menyebarkan fitnah dibangkitkan di akhirat di mana dirinya akan diberikan malu oleh Allah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menyebarkan satu kata-kata yang memalukan seorang Muslim dengan tidak sebenarnya, nescaya dia akan diberi malu oleh Allah dalam neraka pada hari kiamat” - (Hadis riwayat Ibn Abid Dunya dari Abu Zar).

Ajaran Islam bukan saja menegah menyebarkan berita fitnah, bahkan berita benar sekalipun jika orang berkaitan berita itu tidak mahu ia disebarkan. Jika menyebar berita benar dilarang, inikan pula menyebarkan berita tidak benar.

Menceritakan hal benar yang tidak disukai orang dipanggil ghibah. Rasulullah menjelaskan makna ghibah dan melarang ia dilakukan apabila ditanya seorang sahabat.  

Tanya sahabat: “Wahai Rasulullah, apa itu ghibah?” Baginda menjawab: “Menyebut sesuatu yang tidak disukai saudaramu di belakangnya.” Kemudian sahabat bertanya lagi: “Bagaimana jika apa disebutkan itu benar?” 

Baginda menjawab dengan sabda bermaksud: “Kalau apa disebutkan itu benar, maka itulah ghibah, tetapi jika perkara itu tidak benar, engkau sudah melakukan buhtan (pembohongan besar).” - (Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan Tarmizi).

No comments:

Post a Comment