Wednesday, 30 March 2016

BEBAN TUGAS GURU


Dulu guru dianggap pendidik dalam semua hal.  Sebab itu, ibu bapa menyerah sepenuhnya kepada guru tugas untuk mendidik anak masing-masing tanpa sebarang perasaan rugu dan prejudis.  Guru dianggap adiguru yang tahu dan bijak dalam segala bidang. 

Jadi, guru boleh melakukan apa saja terhadap setiap pelajar perkara yang difikirkan baik.  Hubungan guru dengan murid ibarat seperti bapa dengan anak.  Jadi, amat mudah untuk guru pada masa dulu mendidik anak murid untuk menjadi insan berguna kepada agama bangsa. 

Namun, segalanya sudah berubah.  Guru hanya dianggap menjalankan tugas di sekolah.  Guru tidak boleh memandai untuk melakukan itu ini terhadap muridnya.  Silap hari bulan, \guru akan disaman oleh ibu bapa pelajar disebabkan sesuatu tindakan yang tidak disenangi. 

Guru sekarang dilarang keras merotan atau mendenda pelajar yang melakukan kesalahan disiplin atau tidak mematuhi apa yang disuruh.  Sedangkan perkara ini adalah dianggap kaedah paling berksasan untuk mendisiplinkan pelajar. 

Disebabkan perubahan iklim batasan tugas atau kuasa guru, masalah disiplin pelajar semakin menjadi-jadi.  Pelajar sudah menjadi keras kepala dan tidak menghormati guru.  Perbuatan melanggar disiplin, buli, ponteng sekolah dan sebagainya sudah semakin tidak terkawal.  
           
Untuk mengatasi masalah ini, kuasa guru perlu dikembalikan seperti dulu.  Tindakan merotan dan mendenda pelajar yang melanggar disiplin perlu diserahkan semula kepada guru.  Namun, pada masa yang sama, guru sendiri perlu bertindak bijak dalam menjalankan tugas.  Jangan terlalu ikut emosi dan tindakan keterlaluan.      

Islam mengajar kita secara berhemah dan berperingkat-peringkat.  Jangan ambil tindakan sebarangan.  Amalan bersederhana itu dituntut oleh agama.  Ini sesuai dengan metodologi dakwah yang menekankan kepada kasih sayang dan memberi tunjukajar.

Beban tugas antara yang menghalang kesempurnaan tugas.  Manusia tidak mampu untuk melakukan semua tugas yang diserahkan jika terlalu banyak dan di luar batasan kerupayaan dari segi masa, kepakaran dan peluang untuk melakukan.     

Sekarang ini didapati tugas guru tidak hanya semata-mata mengajar di dalam kelas.  Mereka juga terlibat dengan tugas pentadbiran dan pengkeranian.  Guru turut dipertanggungjawabkan untuk melakukan tugas kemasyarakatan, menghadiri kursus dan sebagainya.  Hal ini menyebabkan tumpuan guru dalam melakukan tugas mengajar tidak dapat diberikan sepenuhnya. 

Ada guru yang menginggalkan kelas semata-mata ada komitmen lain.  Kalau guru tidak berpeluang sepenuhnya bersama dengan pelajar, tentu sekali proses pembelajaran dan dakwah akan terganggu.  Sudahlah masa yang diperuntukkan untuk seseorang guru mengajar agak terhad.  Maka semakin kuranglah guru dapat melaksanakan tugas hakikinya iaitu mengajar.


Untuk mengatasi msalah ini, pihak pentadbiran sekolah dan Kementerian Pelajaran perlu merangka pembahagian tugas yang lebih memberi peluang untuk guru melaksanakan tugas hakiki secara teratur. 

No comments:

Post a Comment