Monday 14 June 2021

Malaysia bangunkan dua vaksin Covid-19 sendiri

Malaysia kini sedang giat berusaha membangunkan dua vaksin Covid-19 sendiri, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Usaha tersebut giat dilakukan kumpulan penyelidik Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang dalam usaha untuk membangunkan dua jenis vaksin Covid-19.

Beliau berkata kedua-dua vaksin itu ialah daripada jenis utusan asid ribonukleik (mRNA) dan vaksin nyahaktif terhadap Covid-19 atau ‘inactivated vaccine’ dalam usaha meningkatkan kapasiti pembangunan vaksin selain persiapan menghadapi pandemik pada masa depan.

“Rancangan pembangunan vaksin negara sedang digubal mengambil kira kebolehupayaan negara dari segi penyelidikan, kajian klinikal serta pengilangan melibatkan pelbagai kementerian termasuk Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya dipetik daripada laporan Utusan Malaysia hari ini.

Adham berkata, KKM melalui Institut Penyelidikan Klinikal juga sentiasa memantapkan kebolehan penyelidikan klinikal.

Pada masa ini, Adham berkata, kumpulan penyelidik KKM juga terlibat dalam kajian klinikal vaksin Fasa III yang bertajuk Randomized, Double -Blinded, Placebo Controlled Phase III Clinical Trial for the Evaluation of Efficacy and Safety of SARS-CoV-2 Vaccine, Inactivated (Vero Cell) in Healthy Population Aged 18 Years and Above in Malaysia.

Katanya, kajian itu masih berjalan dan melibatkan seramai 3,000 sukarelawan yang berusia 18 tahun ke atas.

“Bagi melihat keberkesan vaksin yang diberikan kepada populasi Malaysia, penyelidik KKM juga sedang dan akan menjalankan beberapa kajian pasca vaksinasi.” katanya.

No comments:

Post a Comment