Wednesday, 30 March 2016

MELAKUKAN DAKWAH SECARA BERHEMAH


Dakwah adalah usaha membawa manusia ke jalan yang benar, yakni agama Islam yang dibawakan oleh Nabi Muhammad SAW. Orang yang didakwah itu sama ada orang Islam yang sudah lari daripada jalan yang benar, ataupun mereka yang belum beragama Islam. 

Tugas dakwah perlu dilakukan setiap muslim mengikut kemampuan masing-masing. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sampaikanlah daripadaku walaupun hanya satu ayat.”  (Hadis riwayat Ahmad, Bukhari dan Tirmizi)

Usaha dakwah meliputi proses menyampai, mengajak atau memberi contoh amalan yang baik agar pihak yang didakwah itu kembali dan sedar apa kesalahan yang telah dilakukan atau mereka yang bukan Islam akan mengenali dan menerima Islam sebagai agama anutan mereka.

Dalam situasi hari ini, dakwah yang lebih penting dilakukan ialah untuk mengajak umat Islam yang tersasar dari ajaran agama agar kembali taat dan mengamalkan ibadat kepada Allah SWT. Amat malang sekali bilangan orang Islam yang melakukan maksiat secara terang-terang semakin berleluasa.

Umat Islam kini terdedah kepada pelbagai bentuk cabaran yang menguji kekuatan akidah termasuk hiburan keterlaluan atau hedonisme, seks bebas dan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT). Amalan itu semakin mengancam hidup umat Islam apabila terpangaruh dengan apa yang diamalkan oleh masyarakat Barat. 

Perbuatan itu bukan sahaja menggugat kemurnian dan kesucian Islam, malah sebenarnya telah menjatuhkan kemuliaan dan darjat manusia. Mereka telah melakukan perbuatan luar tabie yang ditentang oleh semua manusia normal. 

Krisis amalan songsang ini bermula di Barat dan kini merebak ke seluruh dunia. Tidak dinafikan perkara ini bukan baru berlaku, bahkan telah dicerita dalam al-Quran yang menjadi amalan umat terdahulu. Apa yang dibimbangkan ialah gaya hidup songsang itu turut melanda umat Islam, termasuk di Malaysia.

Lebih memburukkan keadaan apabila isu pluralisme agama dan murtad menyerang segenap ruang pemikiran umat Islam. Isu ini secara tidak langsung bukan saja melibatkan orang Islam, tetapi juga masyarakat bukan Islam di negara kita. Kedua-dua isu ini perlu diselesaikan dengan berhemah kerana turut melibatkan sensitiviti kaum dan campurtangan politik.

Dalam hal ini, Allah SWT telah mengingatkan dalam firman yang bermaksud: “Serulah (semua manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik (bijaksana) dan bantahlah mereka dengan cara yang baik” (Surah an-Nahl, ayat 125).

Dalam pada melakukan dakwah, pastikan usaha itu dilakukan dengan berhemah. Keikhlasan dan niat melaksanakan tuntutan agama perlu diutamakan. Sering kali berlaku, orang yang menyatakan niat untuk berdakwah sebenarnya terselindung niat lain di sebaliknya. Mereka menyebut kesalahan orang lain untuk mendapat keuntungan diri. Malah lebih buruk lagi, perbuatan itu bertujuan melepaskan kesalahan diri kepada orang lain.

Satu perkara yang perlu dipastikan agar dakwah itu menjadikan sesuatu keadaan itu lebih baik dan bukan sebaliknya. Kesilapan dakwah boleh menyebabkan orang yang didakwah menjadi semakin menjauhkan diri dan melakukan perbuatan salah itu lebih teruk lagi.

No comments:

Post a Comment