Pasar Besar Siti Khadijah, Kota Bharu. Pasar ini merupakan
lokasi tumpuan penduduk Kota Bharu dan pelancong untuk mendapatkan barangan
keperluan.
Pasar ini dibina ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN).
Pembinaan bermula pada tahun 1983 dan siap pada tahun 1985.
Tapak asal Pasar Siti Khadijah adalah kawasan rendah dan
mudah ditakungi air. Terdapat rumah setinggan dan aktiviti tidak sihat di situ.
Nama asal pasar ini dikenali sebagai Pasar Besar Buluh Kubu.
Ia menggantikan Pasar Besar MPKB. Bagaimanapun, Pasar Besar MPKB terus
beroperasi dengan sedikit pengubahsuaian jenis perniagaan.
Pada tahun 1997, kerajaan PAS Kelantan menukar namanya
kepada Pasar Besar Siti Khadijah.
Nama Siti Khadijah diambil bersempena nama isteri pertama
Nabi Muhammad SAW, iaitu Sayyidatuna Khadijah binti Khuwailid, seorang tokoh
usahawan wanita terulung dan dihormati dalam sejarah Islam.
Penukaran ini adalah sebagai penghormatan kepada golongan
wanita kerana majoriti peniaga di pasar ini terdiri daripada kaum wanita.
Bangunan ini direka unik dalam bentuk segi lapan (oktagon)
dengan kubah bumbung lutsinar di bahagian tengah.
Struktur seni bina ini membolehkan cahaya matahari menembusi
terus ke ruang jualan di tingkat bawah, sekali gus mewujudkan sistem
pencahayaan semula jadi untuk para peniaga sayur-sayuran, buah-buahan dan
barangan basah.
Tingkat 1 pula menempatkan barangan kering, kuih-muih
tradisional Kelantan, dan makanan ringan.
Manakala tingkat 2 dan tiga dikhususkan menjual pelbagai
jenis tekstil, kain batik, sutera Kelantan, pakaian, serta barangan kraf tangan
tembaga dan perak.
Selain menjadi nadi ekonomi tempatan bagi penduduk Kota
Bharu, pasar ini telah berkembang menjadi mercu tanda serta destinasi
pelancongan budaya utama di Kelantan.

