Monday 24 January 2022

TARANTULA KENDERAAN PERISAI TEMPATAN

 
Tarantula adalah kenderaan perisai untuk kegunaan tentera keluaran syarikat tempatan iaitu MILDEF International Technologies Sdn Bhd (MILDEF). MILDEF 100 peratus dimiliki Bumiputera.

Kejayaan MILDEF menghasilkan Tarantula amat baik untuk industri pertahanan tempatan kerana ia mengketengahkan satu produk keluaran tempatan yang direka bentuk 100 peratus oleh anak-anak tempatan.

Tarantula bukanlah kenderaan perisai luar yang dipasang secara berlesen oleh syarikat tempatan dan dinamakan (re-badge) sebagai “kenderaan tempatan”.

Kenderaan keluaran MILDEF itu adalah 100 peratus direka bentuk oleh anak tempatan dan dikeluarkan oleh syarikat 100 peratus Bumiputera.

Tarantula telah melalui pelbagai ujian daripada kumpulan uji nilai Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) Kementerian Pertahanan.

Dari segi ujian atas jalan raya selama sembilan hari, ia merangkumi perjalanan 700 kilometer (km) dan 300 km lagi ujian panduan ‘offroad’.

Apa yang ditonjolkan oleh MILDEF telah membuktikan bahawa bakat dan syarikat tempatan juga mampu menghasilkan kenderaan pertahanan berkualiti seperti dihasilkan negara luar, malah lebih hebat.

Sistem persenjataan Remote Control Weapon System (RCWS) 12.7mm yang digunakan oleh Tarantula telah dinaik taraf bagi memberikannya kemampuan yang lebih mantap ketika melakukan penembakan.

Kenderaan berperisai Tarantula itu bukan sahaja boleh dilengkapkan dengan sistem RCWS 12.7mm tetapi pelbagai jenis sistem persenjataan yang lain bergantung kepada keperluan pelanggannya.

Ia boleh dilengkapkan dengan sistem peluru berpandu anti-kereta kebal (ATGM) atau Multiple Grenade Launcher (MGL) dan lain-lain, sebagaimana yang dikehendaki oleh pengguna akhirnya.

Tarantula dibina dengan dilengkapi perlindungan perisai bawahan Stanag 4569 Level 2B dan perlindungan perisai badan Stanag 4569 Level 2 untuk melindungi krew di dalam kenderaan tersebut.

Syarikat MILDEF dilaporkan telah membelanjakan sebanyak RM16 juta daripada “kocek sendiri” untuk membangunkan kenderaan perisai Tarantula.

Selain itu, syarikat turut bekerjasama dengan Caterpillar untuk membekalkan enjin yang lasak, berteknologi tinggi dan mampu bertahan di dalam apa jua situasi.

No comments:

Post a Comment