Friday 25 May 2018

SIKAP MANUSIA MUDAH TERPENGARUH DENGAN PERSEKITARAN

Manusia mudah terpengaruh dengan persekitarannya atau teman rapatnya. Nabi SAW menyebut dalam hadis: "Seseorang berada atas agama sahabat baiknya. Maka hendaklah seseorang kamu memerhatikan siapakah dia jadikan teman rapatnya." (Riwayat Ahmad, dinilai hasan oleh al-Albani).

Justeru betapa pentingnya membentuk atau mewujudkan suasana yang soleh ini, maka kita tidak hairanlah jika Allah menugaskan antara tanggungjawab para pemerintah agar memelihara iklim dan persekitaran agak dihiasi dengan perkara-perkara yang makruf dan dipelihara dari kemunkaran yang nyata lagi mencemarkan masyarakat.

Firman Allah bermaksud: "Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kemunkaran. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (Surah al-Hajj: 41).

Inilah tanggungjawab penting yang dilupai oleh ramai mereka yang mempunyai kekuasaan politik. Allah menguji mereka dengan kuasa supaya mereka menjalankan amanah-Nya agar menegakkan suasana yang baik dan bersih yang diwarnai perkara-perkara makruf dan terpelihara dari pencemaran nilai-nilai negatif.

Memang semua jenis pemerintahan akan melaksanakan urusan menegakkan dasar dan memelihara rakyatnya dari unsur-unsur yang mereka tidak ingini. Dasar-dasar yang ditegakkan itu, mungkin untuk kepentingan tertentu termasuk politik para pemerintah itu sendiri.

Demikianlah larangan atau pencegahan yang dikenakan kepada rakyat. Ia mungkin untuk kebaikan umum, juga tidak mustahil barangkali untuk memelihara kepentingan pihak-pihak tertentu semata.

Namun Allah Maha Agung memerintah sesiapa sahaja di kalangan mereka yang beriman apabila diberikan amanah kekuasaan politik agar menjadi suruhan dan larangan itu berpaksikan kepada peraturan Allah iaitu Islam.

Apa yang Allah galakkan maka pemerintah akan galakkan, dan apa yang Allah haramkan maka pemerintah pun haramkan. Peraturan Islam itu adalah peraturan yang bebas dari kepentingan mana-mana pihak. Ia semata-mata keadilan, kesejahteraan dan keharmonian.

Mana-mana perkara yang dikaitkan dengan Islam tetapi terkeluar dari prinsip keadilan dan keharmonian yang sebenar, maka itu bukan Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw.

Sebab itu para pemerintah yang akan menegakkan persekitaran yang murni ini, seperti yang disebut dalam ayat di atas merupakan mereka yang menunaikan solat dan mengeluarkan zakat. Solat merupakan perlambangan perdampingan jiwa pemerintah dengan Allah.

Sementara zakat merupakan pembebasan harta pemerintah dari kemurkaan Allah. Mereka yang bercirikan seperti ini sudah pasti akan mampu menegakkan iklim murni yang dirindui semua.

No comments:

Post a Comment